Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani
Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah
S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau
memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik saja gadis itu memberikan roti
tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan
kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun
mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya
sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam
keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka
pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta
sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum
dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu
sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya
dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak
makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga
tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang
tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan
dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu
makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri,
walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara
dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah,
sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku,
maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan
kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia
pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita
sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke
rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka
sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka
sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barang siapa telah menjadi
kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan
kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia
datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu
berkah dan seribu rahmat."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar