Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di dalam
rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku.
Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana
kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi S.A.W bersabda, "Duduklah
di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah
S.A.W duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan
tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih.
Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya baginda akan
meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang
ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis sehingga mengalir air mataku
jatuh menitis pada wajah baginda.
Baginda terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga
engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi
kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang hebat
bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"
Rasulullah S.A.W berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada
keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana
anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama
berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!"
Rasulullah S.A.W bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang
lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat
daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke
atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan
para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta
dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi, "Adakah lagi
yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya saja
yang lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah S.A.W : "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat
keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk
memandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia
melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha,
sama melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan.
Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang
dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang
tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta
kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di
saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka
akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah
engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam
keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika mereka
memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan,
janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan
keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kapan serta tempat kedua
telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku,
janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat
melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan
terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku
tidak akan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat."
Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai
jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu
menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka.
Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan
meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-
lamanya."
Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi Allah,
wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar suara
ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari
perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar