Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik.
Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama
lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke
markas masing-masing.
Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan
tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih
terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan
salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh,
dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan
keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,"
kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah
golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang
yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam
neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan
Rasulullah itu.
Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda
berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama,
Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya
dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas
tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus
membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung
kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana
berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan
keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga.
Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga
kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku
berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu,
aku tidak akan berperang."
Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar